PERSEDIAAN AWAL SEBELUM MEMANCING

Persediaan asas alat memancing

Memancing sebenarnya bukanlah hobi yang mahal akan tetapi oleh kerana sifat sesetengah manusia suka menunjuk-nunjuk maka nafsu untuk membeli peralatan memancing berjenama impot yang mahal telah membuatkan hobi ini dipandang serong, padahal terdapat pelbagai jenis alatan pancing buatan tempatan yang harganya jauh lebih murah dijual di kedai alatan pancing yang tidak kurang baik kualitinya berbanding barangan impot. Jadi ini terpulang kita sendiri tepuk dada tanya selera. Jangan bersikap menunjuk-nunjuk hingga sanggup berhutang membebankan diri sendiri.

Dibawah ini saya senaraikan keperluan asas sebelum turun memancing.

Umpan - Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan tamban (murah), ikan kembung dan sotong mencukupi untuk setiap trip.

Peralatan memancing - minimum dua set - satu aksi berat dan satu aksi sederhana. Aksi berat lebih 30 paun kapasiti tangsi dengan muatan 150 meter minimum. Set peralatan ini ialah kombinasi kekili dan joran yang sesuai dipadankan antara satu sama lain. Bawa kekili atau joran simpanan sebagai pengganti jika terdapat kerosakan pada peralatan utama atau hilang (Jatuh dalam laut).

Kekili – Selain pancing dasar(bottom) pelbagai teknik pancingan juga boleh dibuat seperti teknik hanyut, “jigging”, “popping” dan tundaan. Jadi, 3 set kekili adalah minimum dan kalau boleh bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan atau kehilangan (jatuh dalam laut).

Joran - Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 5 kaki hingga 6.6 kaki dengan aksi berat 30/80 paun. Jika meminati jigging, guna joran aksi sederhana atau aksi berat. panjang 6 kaki sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Bagi popping, joran 8 kaki – 10 kaki sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan sederhana untuk memancing apollo(7 eyes), anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).

Saiz tali - Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar atau menunda ialah 40 paun hingga 80 paun untuk tali sulam manakala 50 paun hingga 80 paun jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam (braided) 60 paun hingga 80 paun dan disambung dengan tangsi kekuatan 80 paun hingga 100 paun sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).

Mata kail - pelbagai saiz bermula dari 2/0 hingga 5/0 untuk ikan besar, manakala mata 4 hingga 1/0 untuk skala ikan kecil. Adalah disarankan susun atur mata kail mengikut saiz supaya lebih mudah untuk digunakan nanti. Jangan campur mata kail baru dengan yang sudah di gunakan.

Batu ladung - Biasanya memancing di laut hanya perlu membawa ladung mati bersaiz dari saiz 8 hingga 24 atau 32. Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada masa memancing dan yang penting ialah sentiasa ada ladung tambahan jika berlaku tali pancing sangkut atau putus.

Perambut - Pastikan setiap trip laut dalam set perambut perlu dibawa berkekuatan minimum 60 paun hingga 100 paun tidak kira apa jenama atau harga. Gunakan perambut cerah atau sedikit kebiruan serta kehijauan dan seakan-akan warna air. Ada pemancing gemar menggunakan perambut keras dan sebaliknya. Kedua-duanya boleh digunakan asalkan perambut yang tahan kejutan (shock leader), tahan calar, tidak mudah kerinting atau bersimpul. Ada juga perambut dikatakan memiliki tahap penglihatan amat rendah atau tiada langsung dalam air. Perambut ini juga dikenali sebagai perambut hantu (zero visibility).

Jaket keselamatan - Ia berfungsi baik dan bukan ala kadar. Kepandaian berenang boleh sebagai tambahan keselamatan.

Pakaian - Pakaian yang sesuai seperti dapat mengekang kepanasan disiang hari serta kedinginan pada waktu malam. Topi dan baju hujan juga satu kemestian. Pakaian bersih untuk menunaikan ibadat solat lima waktu termasuk sejadah jika boleh. Jika boleh barang keperluan ini seeloknya disimpan dalam bekas atau beg yang kalis air.

Aksesori tambahan - Seperti kotak pancing, ragum muncung panjang, pemotong, pisau, lampu suluh (tambahan), yang boleh dimuatkan dalam kotak pancing.

Makanan - Bekalan makanan dan minuman bergantung kepada bot. Terdapat bot yang memasak untuk peserta dan sebaliknya. Rakan-rakan dalam bot juga boleh diajak berunding mengenai perkara ini. Bagaimanapun seeloknya kita turut membawa minuman dan makanan berserta bekalan ubat yang dirasakan sesuai.