PENGENALAN

Pengenalan

Memancing adalah satu aktiviti riadah yang sesuai bagi individu mahupun sekeluarga, ia juga merupakan salah satu terapi untuk menghilangkan stress hiruk-pikuk kota dan tekanan kerja. Bagi mereka yang kurang paham tentang memancing mereka menganggap hobi ini merupakan hobi membuang masa dan membazir wang ringgit jika dibandingkan dengan hasil tangkapan.Tetapi bagi seorang pemancing sejati dengan melabuhkan pancing sungai ataupun dilaut saja sudah cukup memuaskan hati mereka walaupun sedikit atau tiada langsung hasil tangkapan, ini secara tidak langsung mendidik kita tentang kesabaran dan kesyukuran, akan tetapi jika kail mereka disentap ikan maka suatu kenikmatan dan kepuasan yang susah nak digambarkan, tidak boleh dibeli atau diperolehi dimana-mana.

Sedikit nasihat pesanan kepada pemancing yang agak brutal ialah jika melayan hobi itu biarlah berpada-pada jangan sampai lupa anak-isteri kat rumah, tol sik pok? (betul tak).

Kepada anda yang belum pernah memancing cubalah hobi ini, disini ada disediakan beberapa tip-tip dan panduan memancing, insyaallah dengan hobi baru ini anda akan memperolehi ketenangan jiwa dan kenikmatan hidup. Amin..

Pa tunggu gik! ngail ju pok...

PERSEDIAAN AWAL SEBELUM MEMANCING

Persediaan asas alat memancing

Memancing sebenarnya bukanlah hobi yang mahal akan tetapi oleh kerana sifat sesetengah manusia suka menunjuk-nunjuk maka nafsu untuk membeli peralatan memancing berjenama impot yang mahal telah membuatkan hobi ini dipandang serong, padahal terdapat pelbagai jenis alatan pancing buatan tempatan yang harganya jauh lebih murah dijual di kedai alatan pancing yang tidak kurang baik kualitinya berbanding barangan impot. Jadi ini terpulang kita sendiri tepuk dada tanya selera. Jangan bersikap menunjuk-nunjuk hingga sanggup berhutang membebankan diri sendiri.

Dibawah ini saya senaraikan keperluan asas sebelum turun memancing.

Umpan - Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan tamban (murah), ikan kembung dan sotong mencukupi untuk setiap trip.

Peralatan memancing - minimum dua set - satu aksi berat dan satu aksi sederhana. Aksi berat lebih 30 paun kapasiti tangsi dengan muatan 150 meter minimum. Set peralatan ini ialah kombinasi kekili dan joran yang sesuai dipadankan antara satu sama lain. Bawa kekili atau joran simpanan sebagai pengganti jika terdapat kerosakan pada peralatan utama atau hilang (Jatuh dalam laut).

Kekili – Selain pancing dasar(bottom) pelbagai teknik pancingan juga boleh dibuat seperti teknik hanyut, “jigging”, “popping” dan tundaan. Jadi, 3 set kekili adalah minimum dan kalau boleh bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan atau kehilangan (jatuh dalam laut).

Joran - Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 5 kaki hingga 6.6 kaki dengan aksi berat 30/80 paun. Jika meminati jigging, guna joran aksi sederhana atau aksi berat. panjang 6 kaki sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Bagi popping, joran 8 kaki – 10 kaki sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan sederhana untuk memancing apollo(7 eyes), anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).

Saiz tali - Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar atau menunda ialah 40 paun hingga 80 paun untuk tali sulam manakala 50 paun hingga 80 paun jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam (braided) 60 paun hingga 80 paun dan disambung dengan tangsi kekuatan 80 paun hingga 100 paun sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).

Mata kail - pelbagai saiz bermula dari 2/0 hingga 5/0 untuk ikan besar, manakala mata 4 hingga 1/0 untuk skala ikan kecil. Adalah disarankan susun atur mata kail mengikut saiz supaya lebih mudah untuk digunakan nanti. Jangan campur mata kail baru dengan yang sudah di gunakan.

Batu ladung - Biasanya memancing di laut hanya perlu membawa ladung mati bersaiz dari saiz 8 hingga 24 atau 32. Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada masa memancing dan yang penting ialah sentiasa ada ladung tambahan jika berlaku tali pancing sangkut atau putus.

Perambut - Pastikan setiap trip laut dalam set perambut perlu dibawa berkekuatan minimum 60 paun hingga 100 paun tidak kira apa jenama atau harga. Gunakan perambut cerah atau sedikit kebiruan serta kehijauan dan seakan-akan warna air. Ada pemancing gemar menggunakan perambut keras dan sebaliknya. Kedua-duanya boleh digunakan asalkan perambut yang tahan kejutan (shock leader), tahan calar, tidak mudah kerinting atau bersimpul. Ada juga perambut dikatakan memiliki tahap penglihatan amat rendah atau tiada langsung dalam air. Perambut ini juga dikenali sebagai perambut hantu (zero visibility).

Jaket keselamatan - Ia berfungsi baik dan bukan ala kadar. Kepandaian berenang boleh sebagai tambahan keselamatan.

Pakaian - Pakaian yang sesuai seperti dapat mengekang kepanasan disiang hari serta kedinginan pada waktu malam. Topi dan baju hujan juga satu kemestian. Pakaian bersih untuk menunaikan ibadat solat lima waktu termasuk sejadah jika boleh. Jika boleh barang keperluan ini seeloknya disimpan dalam bekas atau beg yang kalis air.

Aksesori tambahan - Seperti kotak pancing, ragum muncung panjang, pemotong, pisau, lampu suluh (tambahan), yang boleh dimuatkan dalam kotak pancing.

Makanan - Bekalan makanan dan minuman bergantung kepada bot. Terdapat bot yang memasak untuk peserta dan sebaliknya. Rakan-rakan dalam bot juga boleh diajak berunding mengenai perkara ini. Bagaimanapun seeloknya kita turut membawa minuman dan makanan berserta bekalan ubat yang dirasakan sesuai.

MEMILIH JORAN / KEKILI YANG BAIK


Memilih/ Membeli Kekili dan Joran yang baik

Membelilah mengikut kemampuan. Murah atau mahal tidak menjadi masalah asalkan memberi 'perkhidamatan' terbaik untuk memancing. Namun kebiasaan yang mahal mempunyai kualiti yang agak sempurna. Jika memilih joran fikirkan adakah ia sesuai dengan gaya pancingan anda samada untuk kegunaan ke laut,sungai atau muara, tasik atau sebagainya. Material - samada gentian kaca, grafit atau gabungan karbon seperti boron atau grafit kevlar. Bahan-bahan ini sebenarnya termasuk dalam gaya pancingan anda. Jika kita memegang dalam waktu yang lama atau melakukan 'casting', perlulah anda memilih joran aksi ringan supaya tidak cepat lenguh tangan. Sesungguhnya joran jenis karbon dan grafit lebih ringan dan lebih mahal dari gentian kaca. Joran untuk kekili mendatar mempunyai bilangan cincin antara 5 ke 7. Jumlah yang seimbang memberi lenturan yang seimbang. Ketika membeli joran hendaklah diperiksa cincin dengan teliti, walaupun baru terdapat juga cincin yang rosak atau retak yang boleh merosakkan tali. Bentuk cincin yang berkaki tiga (2 dibelakang, 1 depan), berkaki empat dan berkaki tunggal. Cincin berkaki tunggal dan berkaki tiga lebih baik kerana ia lebih elastik, ia akan dapat mengikut joran melentur tetapi cincin berkaki empat tidak dapat berbuat demikian. Jenis pemegang joran yang popular ialah jenis gabus dan span. Pemegang gabus sedap dipandang dan sudah tentu harganya mahal sedikit. Sekiranya anda memilih joran 2 bahagian, pastikan sambungannya mestilah padu. Penyambung yang bagus akan menghasilkan bunyi 'pop' apabila ditanggalkan. Seperti joran, penghasilan kekili juga semakin hebat dan menarik, alas bebola (ball bearing) ditambah sehingga mencapai 11 biji. Sebenarnya penggunaan alas bebola ialah untuk melancarkan pergerakkan gelendung. Sebenarnya alas bebola tidak begitu penting tetapi ia dapat memberi kelancaran apabila digunakan. Kekili juga mempunyai peraturannya sendiri seperti jika ia hanya mampu menampung kekuatan 6 kg dengan tali sebesar 20 paun tapi anda menggunakan kekuatan 30 - 40 paun kesannya akan ditinggalkan pada gigi gear dan shaf utama. Adakalanya gigi gear tertanggal dan shaf bengkok, seterusnya ia akan mula mengeluarkan bunyi yang kurang enak didengar. Kedua-dua bahan ini amat perlu dijaga untuk penggunaan jangka panjang. Pastikan pemilihan joran, kekili serta tali bersesuaian barulah peralatan anda dapat bertahan lama.

TEKNIK MENGAWAL JORAN

Teknik Mengawal Joran

Tabiat sesetengah ikan terutama ikan yang bermain didasar laut atau sungai, untuk melepaskan diri ialah dengan cara melarikan diri di celah-celah batu karang atau pokok-pokok tumbang atau dicelah akar kayu. Apa yang perlu anda lakukan, cuba halang perkara ini daripada berlaku dan ia memerlukan kemahiran tertentu. Jika ikan sempat mencari perlindungan, anda akan tertewas tapi jika anda ketatkan butang tarikan pada kekili, tali akan putus. Teknik yang sebaiknya ialah:

1. Dengan cara menjatuhkan hujung batang joran selari dengan tarikan ikan tersebut. Biarkan ikan menarik tali itu dalam keadaan lurus.

2. Selepas itu anda tarik semula tali pancing dengan mengangkat batang joran dalam keadaan selari dengan tarikan ikan itu.

3. Perlu diingatkan, ketika anda menjatuhkan hujung joran ketika ia menerima tarikan, acap kali ikan berkenaan akan berhenti buat seketika. Jika keadaan seperti ini berlaku, masa itulah anda kawal ikan tersebut dengan melawan tarikannya pula.

4. Dengan berbuat begini kemungkinan besar anda pasti berjaya menewaskannya.

Teknik Jigging dan popping

Boleh mengunakan perambut kasar sama ada siang dan malam tanpa masalah. Teknik memancing sudah nyatakan dan setiap jawapan bermula daripada pancing dasar (bottom) tundaan (trolling), hanyut (drifting), pertengahan air (mid), jigging, popping dan candat sekiranya perlu mendapatkan umpan sotong. Satu lagi perkara yang merujuk tentang teknik memancing ialah jarak perambut untuk pancing dasar ialah 2 hingga 3 depa diikat pada 2 mata kail di depan dan di hujungnya. Atau mengunakan teknik apollo 2 mata jika kawasan berlabuh adalah karang tinggi.

UMPAN


Contoh-contoh umpan

Didalam aktiviti memancing selain Peralatan Memancing yang lengkap, kaedah penyediaan dan penggunaan umpan serta mempastikan lubuk amat penting bagi mempastikan membawa hasil tangkapan yang memuaskan. Pada hakikatnya bagi seseorang pemancing 30% bergantung pada persiapan/kesungguhan serta 70% lagi bergantung kepada nasib atau rezeki. Oleh yang demikian faktor kesungguhan amat dititik beratkan agar aktiviti ini dapat ditaksirkan sebagai satu sukan yang mencabar. Penyediaan serta penggunaan umpan pula boleh dikategorikan kepada beberapa faktor termasuk keadaan air serta lubuk.

A.Umpan Laut Dalam

Kebanyakan umpan yang digunakan disini lebih kepada penggunaan Umpan segar dan hidup. Kebiasaan sebelum melakukan aktiviti memancing , usaha mencari umpan hidup akan dilakukan dengan kebanyakannya menggunakan Apollo.(Tali pancing yang diikat dengan mata kail yang banyak) Ikan Umpan yang sering di gunakan akan menggunakan kaedah pancing dasar, dibiar hanyut dan tidak kurang menggunakan pelampung seperti belon.

1. Umpan Ikan Segar spt. Ikan Kembung, Selar, Tamban, Tongkol dll.

2. Gewang (Rapala)

3. Sotong

( Ikan Utama: Tenggeri, Jemuduk, Pari, Alu-Alu, Merah, Yu dll )

B.Umpan Air Masin

(Terutama bahagian Muara Laut) ,

Aktiviti disini turut melibatkan pasang surut air serta tahap kemasinan air laut memainkan peranan bagi pemancing yang peka tentang keadaan dan masa yang sesuai untuk turun memancing. Umpannya pula ada yang boleh dibeli dan tidak kurang mencari sendiri terutama apabila air surut dengan menggunakan jala dan sebagainya.

1. Udang Hidup

2. Perumpun

3. Tamban

4. Hirisan Ikan

5. Gewang

(Ikan Utama: Siakap,Jenahak, Kaci, Tebal Pipi, Sembilang, Tetanda dll )

C.Umpan Ikan Air Tawar

(Hulu-Hulu Sungai)

Kaedah penggunaan Umpan dikawasan ini lebih kepada pembacaan tentang ikan-ikan yang menjadi penghuni satu-satu tempat. Biasanya ikan-ikan seperti Kelah atau Sebarau lebih menjadi buruan. Mungkin penyediaan Umpan disini boleh dianggap lebih remeh dari ikan air masin kerana telah menjadi ikutan, ikan-ikan disini harus ada ‘pemanggil’ agar berada berhampiran tempat memancing. Namun kiranya seseorang yang sanggup meredah satu-satu lubuk itu sendirian atau berdua mereka lebih kepada suasana yang sunyi tanpa memerlukan ‘pemanggil’. Pemanggil yang dimaksudkan ialah seperti tukun,dari buah Kelapa Sawit atau Ubi kayu yang diikat dan dibiarkan terendam didalam air

1. Kelapa Sawit

2. Buah Neram

3. Ulat Sagu

4. Cengkerik

5. Ubi Kayu

6. Cacing Tanah

7. Perut Ayam

8. Katak

9. Gewang (mengilat)

( Ikan Utama: Kelah, Sebarau, Baung, Kalui, Kelisa dll )

D.Contoh Umpan Sungai

(Lombong, Anak Sungai & Tali Air)

Kebiasaan Aktiviti disini tidak memerlukan persiapan yang boleh dianggap ‘berat’, atau lebih tepat lagi ia dilakukan dalam jangkamasa yang singkat seperti waktu memancing dan kawasan memancing yang berhampiran. Umpannya pula banyak terdapat dikedai-kedai dengan harga yang murah berbanding Umpan Air Masin dan persiapan untuk Umpan Air Tawar.

1. Katak

2. Cacing

3. Anak Udang

4. Pisang

5. Tepung & Dedak

6. Roti

7. Anak Ikan

8. Hati Ayam

9. Telur Kerengga

10. Dedak

Cara membuat Umpan Dedak

Tiga (3) bahan asas untuk membuat umpan dedak ialah dedak ( seelok-eloknya jenis hong, dedak paling halus), tepung gandum dan air. Sebelum memulakan proses ini, kadar dedak yang diperlukan dicampur sedikit air dan diuli sehingga liat. Jangan campurkan terlalu banyak atau terlalu kurang air, sekadar memadai sahaja supaya dedak menjadi liat dangan terasa sedikit lembap. Kemudian tambah sedikit tepung gandum dan di uli supaya umpan ini menjadi sebati, kental dan tidak rapuh. Untuk memastikan ia sesuai digunakan, ambil segenggam dedak yang sudah di uli tadi dan cuba kopakkan kepada dua (2) bahagian. Sekiranya ia tidak mudah terkopak bermakna umpan dedak sudah sedia untuk digunakan. Bahan-bahan perisa yang boleh ditambah mengikut citarasa ikan setempat seperti serbuk kunyit, perencah kurma, belacan, perahan air kelapa sawit dan sebagainya.

(Ikan Utama: Haruan, Patin, Talapia, Lampam, Toman dll)

E.Contoh Umpan Udang Galah

Telah menjadi kebiasaan umum Umpan utama ialah Cacing Tanah dan perumpun. Sesetengah tempat pastinya mempunyai penggunaan Umpan tersendiri. Musuh Utama biasanya ialah gangguan dari Ikan Buntal, Duri dan Belut. Dan perlu diperingatkan kawasan Udang Galah adakalanya turut dipenghuni oleh Sang Bedal (buaya).

1. Cacing Tanah

2. Wat-Wat (Perumpun)

3. Anak Ikan

4. Hirisan Sotong (dipotong halus)

5. Anak Udang

(Tangkapan Utama: Udang Galah, tapi adakalanya mengena ikan seperti Baung, Belida, Duri dan Anak-anak Ikan Sungai)

Walau bagaimana pun seperti dinyatakan diatas penggunaan Umpan lebih tertumpu kepada niat pemancing sendiri terutama yang telah menjadi ‘pelanggan’ tetap bagi sesuatu lubuk. Salah satu umpan yang dimaksudkan seperti Umpan Tapa khusus untuk tangkapan Ikan Baung. Disini adalah diingatkan agar penggunaan daging adalah dilarang kerana Umpan sebegitu lebih mengundang masalah kepada pemancing sendiri. Ada kalanya pemancing mempunyai kaedah sendiri dalam penggunaan Umpan namun prinsipnya tetap sama iaitu untuk mendapat hasil yang memuaskan. Bagi penggunaan Umpan Air Masin ,Udang Hidup adalah Umpan yang terbaik kerana perbagai jenis ikan amat mengemari Umpan ini kerana pergerakkannya didalam air mudah menarik minat ikan disitu. Selain Ikan Siakap, Ikan Kerapu dan Jenahak turut terpesona dengan penggunaan Umpan Udang Hidup. Adakalanya diakui Umpan seperti perumpun dan tamban turut boleh menambat ikan-ikan ini tapi peluang Umpan Udang Hidup lebih tinggi. Disinilah yang dikatakan nasib dan rezeki. Oleh itu apa jua yang ingin dilakukan dahului dengan Bismillah dan Selawat serta ingat Allah selalu..Insya-allah kita akan mendapat rezeki yang baik dan selamat.

PETUA


KOLEKSI PETUA DATUK-NENEK

Dalam aktiviti memancing saya suka mengambil petua yang diberi oleh orang tua atau orang yang berpengalaman, ini sedikit sebanyak membantu kita dalam menghadapi masalah atau kesukaran dalam keadaan serba kekurangan semasa memancing. Dibawah ada beberapa petua yang boleh diambil

(Anda tidak digalakkan untuk mengamalkan atau mempercayai sepenuhnya petua-petua ini, cukup sekadar anda jadikan sebagai satu renungan kita bersama)

Waktu Sesuai

Tidak dapat dinyatakan dengan tepat kerana ia perlu dirujuk lokasi yang bakal dikunjungi. Lebih afdal kalau kita minta khidmat nasihat dan pandangan kaki pancing yang pernah berkunjung di kawasan tertentu atau tepat minta pandangan tekong yang bakal kita tempah. Untuk masa pula, ikan lebih aktif dan galak waktu malam hari dan setiap kali berlaku perubahan arus. Ketika tiada arus ikan biasanya pasif walaupun paparan pada sonar terdapat banyak ikan di bawah. Jadi pedoman sampingan ialah rujuk jadual pasang surut untuk satu-satu lokasi yang bakal kita kunjungi. Set penggera pada telefon bimbit untuk setiap kali akan berlaku perubahan pasang surut air kerana waktu inilah kita perlu berjaga-jaga dengan lenturan yang bakal dikecapi di hujung joran.

Mengekalkan Kesegaran Ikan

Untuk mengelakkan ikan daripada busuk jika kita tidak mempunyai kelengkapan, Ikan anda itu perlu disiang dan dibuang segala isi perut, tahi, dan sisiknya. Tapi ingat ikan berkenaan tidak boleh dibasuh dengan air. Selepas disiang, biarkan ikan berkenaan berdarah lalu dibalut dengan kertas suratkabar seekor demi seekor.(usah dicampur 2 – 3 ekor sebungkus) Selepas itu letakkan bungkusan itu pada tempat yang teduh. Ikan berkenaan akan tetap segar walaupun dibungkus selama 24 jam.

Pari melekap didasar

Kita sering mendengar pemancing akan menghadapi masalah menaikan pari bila ia melekap dipasir. Caranya mudah gunakan daun sireh/ tembakau rokok (dibasahkan) lalu digosok pada tali pancing hingga berbunyi. Pari akan rasa ngilu dan serta merta melepaskan lekapannya pada pasir.

Tersesat Didalam Hutan

Jika kita tersesat didalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, cubalah petua ini. Telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah diantara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Insya-allah jalan pulang akan ditemui.

Berkat Dapat Izin Sebelum Memancing

Pastikan setiap kali keluar rumah untuk memancing mestilah memberitahu isteri atau keluarga. Pastikan semua tanggungjawab dan urusan telah dibereskan sebelum pergi. Jangan meninggalkan masalah dirumah, termasuk dengan anak-anak. Bila ini dibereskan hati pun tenang semasa memancing dan mungkin berkat doa mereka anda mendapat hasil yang baik…Insya-allah.

Menjaga Umpan Perumpun

Perumpun yang dibeli untuk memancing biasanya mudah mati dan busuk jika anda tidak cepat mengasingkannya. Petua menjaga kesegarannya ialah jika memotong perumpun yang panjang, pastikan ia mula dipotong dari bahagian ekor. Jika ia dipotong dari bahagian kepala, perumpun mudah mati dan busuk. Penggunaan surat kabar atau kertas yang kering juga dapat membantu kesegarannya dengan menukar kertas takungan umpan ini setiap 2 jam sekali. Elakkan dari terkena air hujan atau terdedah dari terik panas matahari. Sebaiknya letakkan kain atau kertas yang lembab bagi menutup perumpun.

Menjuntai Kaki

Petua ini terutama kepada pemancing yang menaiki bot/sampan. Elakkan suka menjuntai kaki kedalam air semasa memancing atau berehat. Perlu diberitahu tapak kaki kita akan kelihatan putih semasa didalam air dan amat menarik perhatian ikan seperti jerung atau buaya untuk menyambarnya.

Meludah Umpan

Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama didalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.

Menghilangkan Bisa Terkena Gigi Ikan

Sebaik saja terkena sengatan gigi ikan spt. Ikan Jenahak, Malong dan sebagainya dianggota badan terutama jari, cepat-cepat cedok air laut tempat anda memancing dengan tangan kanan dan titiskan kedalam mulut dan telan sedikit air tersebut. Rasa bisa serta denyutan akan berkurangan dan bolehlah sapu apa-apa ubat yang sesuai selepas itu.

Pantang tentang bekalan makanan

Jangan membawa sebarang makanan berdarah spt. Daging atau ayam semasa memancing. Begitu juga jangan sesekali membawa bekalan telur rebus dan pulut kuning. ’Laut tempatnya keras, kedua-dua makanan itu ada kaitan dengan amalan membuang Ancak’.

Petua Mabuk Laut

Samada benar atau tidak kita perlu mencuba terlebih dahulu dan jika mahu mencuba saya sarankan agar berselawat terlebih dahulu. Jika masih mabuk gunakan teknologi terkini dengan menelan pil penahan mabuk dan jika masih gagal, dinasihatkan jangan kelaut. Memancing sahaja di sungai dan tasik – anda pasti tidak mabuk. He.. he jangan marah..

1. Ini rasional – mengikut pakar perubatan. GINJAL dibelakang telinga memainkan fungsi penting dalam menseimbangkan tubuh badan. Digalakkan mengurut ginjal dibelakang telinga terutama bila mula merasa pening. Menggerakkan kepala ke kiri dan kanan selain melakukan senaman ringan mampu menghilangkan rasa mabuk laut.

2. Bagi nelayan, MINUM AIR LAUT dikuala mampu menahan diri daripada mabuk laut. Boleh diminum hingga ‘sendawa’ dan boleh juga sedikit sahaja kerana ini boleh menahan tekak dari merasa loya.

3. Syor nelayan dan TLDM, agar orang yang mabuk laut, TERJUN DAN MANDI LAUT tapi mesti pandai berenang. Dengan menyelam beberapa ketika badan dan kepala akan menjadi segar semula.

4. OREN SUNKIST juga berguna. Ada orang kata, limau tak boleh dibawa kelaut, takut ribut. Kita hanya perlu bawa kulit Oren Sunkist saja. Kalau boleh kunyah kulit Oren berkenaan sepanjang berada di laut. Kalau tak sanggup, kunyahlah sebelum perjalanan dan jika terasa loya semula, kita kena kunyah lagi.

5. Cuba makan KELEDEK MENTAH. Rasionalnya mudah, keledek mentah mempunyai sedikit getah yang boleh membuat mulut kita tidak rasa loya.

6. Makan PISANG KELAT. Rasionalnya sama seperti keledek. Untuk lebih mujarab, titiskan sedikit air limau sebelum memakannya.

7. Selit kan SAYUR KANGKUNG dipinggang atau poket.Pastikan ia tidak jatuh sepanjang kita memancing.

8. Tumbuk LADA HITAM yang dicampur dengan HALIA BARA, kemudian sapu diperut terutama bahagian pusat sebelum ke laut.

9. Sebelum memancing , jangan minum minuman yang BERKRIM ATAU BERSUSU. Seeloknya bawa AIR OREN sebagai minuman semasa memancing.

PANTANG-LARANG


PANTANG-LARANG

Bagi saya pantang-larang bukanlah sesuatu yang membebankan, akan tetapi jika terlalu taksub juga boleh mendatangkan kepada syirik, ini terpulang kepada kita sendiri untuk menilai sama ada mahu turuti atau tidak. Bagi saya ia lebih mendidik kita kearah mendisiplin diri semasa memancing.

Ini contoh yang perlu kita turuti :-

  • Adalah pantang bermulut celupar semasa memancing seperti mengutuk hasil tangkapan terlalu kecil atau bersifat hodoh, ini akan menyebabkan cuaca akan berubah menjadi ribut (kata org swk kudik ari) & bencana akan menimpa. Tapi bagi saya ia Cuma mendidik kita supaya lebih disiplin dan beradab semasa memancing.

Ini contoh yang bagi saya tidak perlu kita turuti:-

  • Melangkah joran, ini akan menyebabkan joran yang dilangkah akan mendapat sial (suwei) tidak akan dimamah ikan tapi bagi saya ini hanya satu fahaman kolot yang boleh membebankan diri hingga kekadang boleh menyebabkan pemancing bergaduh sesama sendiri.

Dibawah ada beberapa contoh pantang-larang

Jangan buang tangkapan pertama

Ada petua yang mengatakan - rezeki pertama yang didapati pada setiap kali aktiviti memancing sangat berkat terutama kepada kaki pancing sama ada di laut mahu pun di darat.

Jangan meludah dalam laut

Rezeki yang kita ambil dari tempat berludah adalah satu perbuatan jijik malah dijadikan makanan untuk keluarga. Justeru adalah lebih baik supaya kita tidak meludah di laut sesuka hati, berludah saja dalam plastik atau tidak membuang benda-benda kotor di laut.

Langkah Batang Pancing

Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah adakalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.

Kunyit & Tepung

Jika memancing disungai dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.

Berkasut

Apabila memancing didalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut.Macamlah kita nak masuk rumah orang, kenalah buka kasut atau selipar. Ia semacam tanda hormat dan adab. Nanti ada yang kata bahaya takut tercucuk duri didalam sampan tapi ini sepatutnya tidak berlaku jika kita mengutamakan kebersihan dan keselesaan ketika memancing. Ada juga beranggapan benda-benda dibawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor. (Kata sidak ya).

Mulut

Pantang larang paling utama dalam aktiviti memancing. Mulut jangan cakap besar, takbur, celupar dan suka menyumpah. Jangan suka menegur sesuatu yang tidak pasti spt. bau wangi dan sebagainya. Mulut jangan terlalu suka berjenaka dan bersenda gurau berlebihan ditakuti suka akan membawa duka. Jangan suka buat bising